Khamis, 31 March 2022 | 5:39pm

Pengarah syarikat didakwa terima deposit tanpa lesen

MELAKA: Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima deposit RM90,000 tanpa lesen sah tahun lalu.

Tertuduh, Kyairul Syahirin Ahmad, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menerima deposit daripada Abu Talib Amir, 60, berjumlah RM90,000 tanpa satu lesen yang sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), di 299 Jalan Belia 15 Taman Belia Antarabangsa, Ayer Keroh antara 27 Ogos 2021 hingga 28 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Benedict.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes untuk sebutan pada 27 April ini.

Berita Harian X