Khamis, 31 March 2022 | 3:09pm
Kereta dan mercun yang dirampas sepasukan anggota PGA7 di Kampung Tok Oh di Tumpat, pagi tadi. - FOTO IHSAN PGA
Kereta dan mercun yang dirampas sepasukan anggota PGA7 di Kampung Tok Oh di Tumpat, pagi tadi. - FOTO IHSAN PGA

Penyeludup pecut kereta bawa mercun elak ditahan

TUMPAT: Seorang lelaki disyaki penyeludup ekad memecut kenderaan dipandunya yang membawa muatan mercun bola di Kampung Meranti di Pasir Mas, dekat sini, sebaik dihampiri pihak berkuasa bagi mengelak ditahan.

Tindakan suspek bagaimanapun gagal apabila kereta jenis Proton Preve terbabit ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam penugasan Op Wawasan kira-kira jam 5.10 pagi tadi di Kampung Tok Oh, di sini, kira-kira enam kilometer dari lokasi ia dikesan.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, terdahulu pihaknya mengesan kenderaan terbabit dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba mendekatinya untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya pemandu memecut kenderaan terbabit menuju Kampung Tok Oh sebelum berhenti dan meninggalkan kenderaan terbabit.

"Suspek kemudian melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebelum kelibatnya gagal dikesan.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan menemui 240 paket mercun jenis bola dipercayai baru diseludup masuk daripada Thailand untuk pasaran sempena Aidilfitri," katanya.

Azhari berkata, kereta dengan mercun yang dirampas kemudian dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah di Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1967.

Berita Harian X