Rabu, 30 March 2022 | 4:04pm
Zarina Anjoulie (gambar fail).
Zarina Anjoulie (gambar fail).

Zarina Anjoulie didenda RM4,000

SEREMBAN: Selebriti Zarina Anjoulie diarah membayar denda RM4,000 selepas mengaku salah atas dakwaan memasukkan dadah ke dalam badan pada Jun tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata keputusan dibuat Majistret Mohd Firdaus Saleh kelmarin dalam prosiding membabitkan selebriti berusia 34 tahun yang lebih dikenali sebagai Anju itu yang diawalkan semalam.

"Sepatutnya (kes) berjalan hari ini, namun peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon kepada mahkamah untuk diadakan lebih awal iaitu pada Selasa (semalam).

"Selain didenda RM4,000, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun dan jika gagal membayar denda berkenaan dia berdepan hukuman penjara empat bulan," katanya yang turut mengesahkan Anju membayar denda itu semalam.

Pada 13 September lalu, Anju atau nama penuhnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, didakwa di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan menggunakan dadah jenis Methamphetamine dan ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah jenis itu pada Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Berita Harian X