Rabu, 30 March 2022 | 3:34pm

Kilang hasilkan pau, dimsum terlalu jijik

BUTTERWORTH: Jijik dan meloyakan apabila anjing ditemui berkeliaran serta najis tikus, lipas dan lalat di tempat memproses makanan.

Itulah keadaan sebuah kilang menghasilkan pau dan dimsum di Medan Melor Selatan ketika diserbu anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam Op Tegar di sini, hari ini.

Serbuan kira-kira jam 10 pagi disertai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendapati, kilang yang sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu itu tidak mengikut piawaian ditetapkan malah keadaannya terlalu kotor.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid, berkata hasil serbuan pemilik kilang berkenaan dikesan melakukan pelbagai kesalahan besar dalam Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

Beliau berkata, ketika serbuan pihaknya mendapati peralatan yang digunakan berada dalam keadaan amat kotor dan berkeladak serta terdapat tiga anjing dilepaskan di dalam premis memproses makanan itu.

"Terdapat juga daging khinzir yang dipercayai dijadikan inti pau dan dim sum diletakkan berhampiran tandas.

"Antara kesalahan dilakukan menjadikan kawasan kediaman dengan mewujudkan kilang memproses makanan tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain itu, pemilik juga melakukan kesalahan besar dalam aspek kebersihan dengan pekerja tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dalam proses penyediaan makanan. Turut ditemui najis tikus, lipas dan lalat di kawasan memproses makanan serta stor penyimpanan bahan mentah di kilang itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan operasi itu hari ini.

Mohd Wazir berkata, berikutan itu pihaknya mengambil tindakan menutup kilang terbabit selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Kita turut mengeluarkan tiga notis di bawah Peraturan 32(1)(b) dan Peraturan 35(6) Peraturan Kebersihan Makanan 2009 bernilai RM2,500 ke atas kilang itu.

"Kilang ini pernah dikenakan tindakan penutupan pada 2019, tetapi masih berada dalam keadaan sama yang sepatutnya sudah tidak layak untuk beroperasi," katanya.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, pihaknya turut mengeluarkan lima notis kompaun bernilai RM2,900 terhadap sebuah kilang memproses bebola ikan di Raja Uda yang beroperasi sejak 20 tahun lalu yang pemiliknya turut didapati gagal mematuhi PJKM.

"Pemeriksaan di kilang ini mendapati pekerja tidak memakai PPE yang sempurna iaitu tidak memakai sarung tangan ketika mengendalikan produk bebola ikan, selain proses penyediaan produk juga mendukacitakan.

"Secara keseluruhan, kedua-dua premis itu menggajikan sebahagian besar warga asing berasal dari beberapa negara, termasuk Myanmar dan Indonesia untuk bekerja dengan mereka," katanya.

Seekor anjing berkeliaran ketika pegawai kesihatan BKKM JKNPP melakukan pemeriksaan di sebuah kilang pau dan dimsum di Medan Melor Selatan, Butterworth, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad
Seekor anjing berkeliaran ketika pegawai kesihatan BKKM JKNPP melakukan pemeriksaan di sebuah kilang pau dan dimsum di Medan Melor Selatan, Butterworth, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad
Berita Harian X