Rabu, 30 March 2022 | 1:38pm

Penganggur tak mengaku salah miliki pisau 'rambo'

MELAKA: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki sebilah pisau 'rambo' pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Aiman Hakimi Hanafi, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki sebilah pisau 'rambo' berwarna hitam jenama SR Colombia yang diselitkan di bahagian pinggang ketika pemeriksaan polis di hadapan sebuah rumah di Taman Terendak Permai, Sungai Udang pada jam 12.50 tengah malam, Ahad lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun dan sebatan.

Elesabet kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes serta lantikan peguam pada 27 April ini.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin.

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X