Rabu, 30 March 2022 | 1:21pm

Bapa mengaku rogol, amang seksual anak kandung

MELAKA: Seorang pengait sawit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas empat tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya pada Oktober 2021 dan Januari lalu.

Tertuduh berusia 41 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak perempuannya berusia 15 tahun lima bulan, yang mana hubungan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai untuknya berkahwin.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di kebun kelapa sawit di Kampung Parit Putat Benteng, Sungai Rambai, Jasin, kira-kira jam 9 malam pada 20 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana merogol dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik bagi tujuan seksual pada masa, tarikh dan tempat sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Sabit kesalahan, Seksyen 14 (a) AKSTK 2017 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, manakala Seksyen 16 (1) akta sama membawa hukuman maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya itu di sebuah rumah di kampung sama kira-kira jam 8.30 pagi pada 18 Oktober 2021.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin yang melakukan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh, bagaimanapun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberi jaminan, pendakwaan mencadangkan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan kes untuk fakta dan hukuman pada 27 April depan.

Tertuduh mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X