KUALA LUMPUR: Penganjur konsert sempena Program Absolut Food Festival 2022 dikenakan kompaun RM1,000 selepas dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata tindakan kompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) kerana gagal memastikan penjarakan fizikal satu meter seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pada jam 12.30 tengah hari semalam, polis terkesan satu video berdurasi 16 saat menerusi aplikasi TikTok memaparkan sebuah konsert diadakan tanpa mematuhi SOP Fasa 4 PPN.
"Siasatan awal mendapati konsert itu diadakan sempena Program Absolut Food Festival 2022 di perkarangan Astro Bukit Jalil, selama tiga hari bermula 25 Mac lalu. Satu laporan polis dibuat berhubung kejadian ini dan penganjur konsert dikompaun RM1,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Idzam berkata, pihaknya sentiasa menekankan kepentingan pematuhan SOP dalam sebarang acara dan tidak berkompromi jika wujud pelanggaran prosedur berkenaan.
"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.