KUALA LUMPUR: Seorang pelanggan wanita cedera akibat dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan selepas pemandunya tertekan pedal minyak sebelum merempuh masuk ke kedai makan terletak di Batu 13 Hulu Langat, tengah hari semalam.
Insiden kira-kira jam 12.50 tengah hari itu berlaku apabila seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang memandu kereta tiba-tiba pitam ketika hendak menekan brek ketika sampai di tempat parkir depan kedai makan terbabit dan tertekan pedal minyak.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata kenderaan itu kemudian melanggar sebuah motosikal sebelum merempuh masuk ke dalam kedai makan dan melanggar peralatan yang ada di situ.
"Akibat rempuhan itu juga, seorang pelanggan wanita yang sedang mengambil makanan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.
"Bagaimanapun, pelanggan lain yang berada di dalam kedai makan terbabit terselamat manakala pemilik kedai mengalami kerosakan pada harta benda sahaja," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
"Orang ramai dinasihatkan memastikan kesihatan masing-masing berada pada tahap yang baik sebelum memandu kenderaan untuk mengelakkan kemalangan.
"Pengusaha premis perniagaan makanan juga dinasihatkan memasang besi keselamatan atau sesuatu struktur yang kukuh untuk mengelakkan kemalangan seumpamanya berlaku," katanya.