Selasa, 29 March 2022 | 12:28pm
Foto fail 8 November 2021 memaparkan kumpulan aktivis menunjukkan sokongan untuk Nagaenthran di luar pejabat Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, hari ini. - AFP/ARKIB
Foto fail 8 November 2021 memaparkan kumpulan aktivis menunjukkan sokongan untuk Nagaenthran di luar pejabat Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, hari ini. - AFP/ARKIB

Mahkamah Singapura tolak rayuan Nagaenthran, warga Malaysia yang dihukum mati

SINGAPURA: Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan warganegara Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam berhubung hukuman mati yang dihadapinya.

Mahkamah membacakan keputusannya hari ini selepas mengekalkan penghakiman perbicaraan Nagaentran yang diadakan pada 1 Mac.

Peguam, M Ravi menerusi hantaran di Facebooknya, memaklumkan bahawa mahkamah menganggap rayuan itu sebagai menyalahi proses dan undang-undang antarabangsa tidak terpakai.

"Nagaenthran yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental akan dihukum gantung mungkin dalam beberapa hari akan datang," menurut Ravi yang memberi bantuan teknikal kepada peguam Nagaentran, Violet Netto.

Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan panel lima hakim terdiri Ketua Hakim Negara, Sundaresh Menon bersama Hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

Selain rayuan itu, Netto turut memohon mahkamah menggunakan kuasanya bagi membolehkan Nagaenthran menjalani penilaian pakar psikiatri.

Nagaenthran yang berasal dari Perak dijatuhkan hukuman mati pada 2010 selepas disabitkan kesalahan mengedar 42.72 gram dadah jenis heroin pada 2009 di Singapura yang diketahui antara negara mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Kes Nagaenthran telah menarik perhatian antarabangsa dan pada 7 November 2021, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengutus surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong memohon kelonggaran berhubung kes terbabit.

Pada 3 Disember lalu, Presiden Singapura, Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah melalui segala proses mengikut undang-undang.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 10 November 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif COVID-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya. - BERNAMA

Berita Harian X