Isnin, 28 March 2022 | 7:39pm

Kemuka penyata bank palsu, SPRM tahan 11 kontraktor

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah, menahan 11 kontraktor termasuk sembilan di daerah Semporna kerana disyaki mengemukakan penyata bank palsu kepada sebuah pejabat kerajaan, lima tahun lalu.

Sumber memberitahu, sembilan suspek berusia antara 29 hingga 56 tahun dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2017 bagi mendapatkan sebut harga pengurusan kantin bagi tempoh dua tahun dengan nilai kontrak membabitkan lebih RM200,000.

Difahamkan, kesemua kontraktor terbabit yang terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki ditahan di pejabat SPRM Cawangan Tawau, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau, dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, katanya, SPRM Cawangan Keningau pada Jumaat lalu menahan dua kontraktor berusia antara 25 hingga 32 tahun atas kesalahan sama membabitkan nilai kontrak berjumlah kira-kira RM5 juta.

Beliau berkata, suspek lelaki dan wanita itu ditahan kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan pembekalan makanan untuk sekolah asrama rendah dan menengah.

"Perbuatan mengemukakan dokumen palsu adalah antara kesalahan yang kerap dilakukan oleh kontraktor dan diharapkan perkara ini tidak berulang," katanya.

Berita Harian X