Isnin, 28 March 2022 | 7:17pm

Bawa suspek kes bunuh ke lokasi baharu

SEREMBAN: Polis membawa seorang daripada suspek yang dipercayai terbabit dalam penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, di sini, Ahad lalu ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud, Temiang, di sini, petang tadi.

Turut kelihatan Unit Anjing Pengesan (K9) dipercayai dalam usaha mencari sesuatu yang ada kaitan dengan kes terbabit di lokasi berkenaan pada jam 6 petang.

Terdahulu kelihatan pegawai polis wanita membawa seorang wanita dengan bertutup kepala dengan kain berwarna kelabu dan masuk ke kawasan semak berkenaan.

Pasukan polis sudah berada di lokasi jalan sunyi dan dikelilingi belukar itu bermula jam 4 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Che Zakaria Othman mengesahkan pihak polis membawa seorang daripada suspek ke lokasi berkenaan, hari ini.

"Kita sedang menyiasat berdasarkan apa yang dia beritahu. Pihak polis forensik dan doktor patalogi dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban juga ada di sana (lokasi). Kami harap dapat sesuatu, mereka tengah berusaha," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Che Zakaria berkata, sebarang penemuan akan dimaklumkan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Nanda Maarof yang turut berada di lokasi kejadian.

Isnin lalu, media melaporkan seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus, di sini, terkejut selepas menemui mayat di kawasan gaung.

Keesokan harinya, dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun ditahan di dua lokasi di daerah ini kerana disyaki terbabit dengan penemuan mayat berkenaan.

Unit Anjing Pengesan (K9) dibawa ke satu lokasi di kawasan semak dekat Jalan Taman Bukit Zamrud, Temiang, di sini, petang tadi. - Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin.

Anggota polis membuat pemeriksaan di satu lokasi penemuan mayat berdekatan semak di jalan Taman Bukit Zamrud. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Anggota polis membuat pemeriksaan di satu lokasi penemuan mayat berdekatan semak di jalan Taman Bukit Zamrud. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Berita Harian X