Isnin, 28 March 2022 | 11:58am

15 penyamun guna kayu besbol

KAJANG: Sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol menyamun premis menjual peralatan komputer di Bandar Damai Perdana, Cheras, di sini.

Kejadian pada Jumaat lalu dilaporkan kepada polis oleh pengawal keselamatan premis terbabit, jam 9.35 pagi kelmarin. Dua rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol menyamun kedai berkenaan tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata dalam laporannya, pengadu mendakwa sedang bekerja di premis berkenaan apabila diserang sekumpulan lelaki dianggarkan 15 orang menggunakan kayu besbol.

"Suspek kemudian memecah masuk ke dalam premis dan melarikan peralatan komputer di tingkat satu, dianggarkan bernilai RM70,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, suspek menggunakan Nissan Navara, Toyota Hiace, Perodua Alza dan Proton Exora.

"Kenderaan pengadu juga dirosakkan oleh suspek semasa dia cuba menghalang mereka melarikan diri. Pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol menyamun sebuah premis menjual peralatan komputer di Bandar Damai Perdana, Cheras, Kajang, Jumaat lalu.
Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol menyamun sebuah premis menjual peralatan komputer di Bandar Damai Perdana, Cheras, Kajang, Jumaat lalu.
Berita Harian X