Ahad, 27 March 2022 | 7:19pm
Keadaan Perodua Kancil yang remuk selepas bertembung pacuan empat roda di Jalan Chini-Kuantan, menyebabkan dua maut dan dua lagi cedera.- FOTO IHSAN PDRM
Keadaan Perodua Kancil yang remuk selepas bertembung pacuan empat roda di Jalan Chini-Kuantan, menyebabkan dua maut dan dua lagi cedera.- FOTO IHSAN PDRM

2 sahabat maut kereta dinaiki bertembung 4WD

PEKAN: Dua sahabat maut, manakala dua yang lain cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan, di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika Perodua Kancil dipandu Hasyim Amin, 29, dari arah Chini menuju Kuantan, terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata Hasyim dan penumpang kenderaan dipandunya, Dolah Muhtar, 39, tersepit dalam kereta yang remuk dan disahkan meninggal dunia.

Sementara pemandu dan penumpang Toyota Hilux dilapor mengalami kecederaan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Chini, di sini, untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan jam 3.10 petang.

"Anggota menggunakan peralatan penyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, dengan dua lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Berita Harian X