Sabtu, 26 March 2022 | 6:23pm
Bot nelayan tanpa nombor pendaftaran dikendali kru warga Myanmar yang ditahan. - Foto APMM
Bot nelayan tanpa nombor pendaftaran dikendali kru warga Myanmar yang ditahan. - Foto APMM

Maritim Malaysia tahan 3 kru Myanmar, rampas 70 bubu naga

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga kru warga Myanmar yang dikesan bekerja di atas bot nelayan tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 2.3 batu nautika barat laut muara Sungai Perak, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, bot nelayan itu ditahan sepasukan anggota bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Pulau Sembilan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tiga kru membabitkan tekong dan dua awak-awak bot beruaia antara 40 hingga 55 tahun dikesan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki lesen, selain Akta Imigresen 1959/63.

"Bot bersama kru diiringi ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sitiawan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Fadzliana berkata, pihaknya merampas 70 set bubu naga di kedudukan 0.6 batu nautika barat daya Pulau Talang Segari pada 18 dan 24 Mac lalu.

Katanya, rampasan dilakukan selepas mengesan pelampung di permukaan air yang mencurigakan dan mendapati ia penanda kepada bubu naga dipasang individu tidak bertanggungjawab.

"Semua bubu naga dianggarkan bernilai RM8,400 itu dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya.

Berita Harian X