Sabtu, 26 March 2022 | 9:49am
Keadaan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 54 Jalan Klang-Teluk Intan, tengah malam tadi. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Keadaan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 54 Jalan Klang-Teluk Intan, tengah malam tadi. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Warga emas maut kereta bertembung

KUALA SELANGOR: Lelaki warga emas maut manakala anak lelakinya terselamat apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 54 Jalan Klang-Teluk Intan, hari ini.

Dalam kejadian 12.06 tengah malam itu, mangsa berusia 66 tahun maut di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata kemalangan berlaku ketika mangsa memandu kereta Perodua Viva bersama anak lelakinya berusia 23 tahun.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mereka dari arah Kuala Selangor dipercayai terbabas selepas melanggar pembahagi konkrit di tengah jalan.

"Kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil yang datang dari arah Tanjong Karang," katanya ketika dihubungi, di sini.

Ramli berkata, pemandu kereta Perodua Kancil berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan lurus dua lorong yang dipisahkan dengan pembahagi konkrit di tengahnya selain permukaan jalan kering dan cuaca baik.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata sepasukan empat anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa.

Berita Harian X