Jumaat, 25 March 2022 | 4:25pm

Remaja maut rakan parah dalam nahas babit tiga kenderaan

PARIT BUNTAR: Polis menahan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda bagi membantu siasatan kes kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal mati manakala pembonceng, parah dalam nahas di Jalan Siakap, berhampiran Klinik Kesihatan Kuala Kurau, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, berkata dalam nahas membabitkan tiga kenderaan kira-kira jam 9.20 malam itu, mangsa iaitu Mohamad Redzwan Shahril, 18, maut di lokasi kejadian manakala pembonceng, Ikhwan Aiman Ibrahim, 18, parah pada kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 51 tahun itu datang dari arah Parit Buntar menghala Kuala Kurau dan dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya sebelum merempuh mangsa dan rakannya yang menunggang motosikal.

"Kenderaan pacuan empat roda itu kemudian terbabas dan merempuh kereta terbabit namun pemandunya yang berusia 53 tahun tidak cedera," katanya ketika dihubungi media.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala rakannya yang parah turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

"Pemandu pacuan empat roda kini ditahan untuk tujuan siasatan. Hasil ujian saringan air kencing ke atasnya, negatif.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X