Khamis, 24 March 2022 | 8:01pm
Penuntut Jepun buat laporan palsu disamun dan dirogol secara bergilir-gilir oleh empat atau lima lelaki Afrika. - Foto hiasan
Penuntut Jepun buat laporan palsu disamun dan dirogol secara bergilir-gilir oleh empat atau lima lelaki Afrika. - Foto hiasan

Penuntut Jepun didenda, buat laporan palsu dirogol

PETALING JAYA: Seorang penuntut kolej swasta warga Jepun didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana membuat laporan polis palsu kononnya disamun dan dirogol sekumpulan lelaki Afrika.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap Ageha Matsuzaki, 20, selepas wanita terbabit mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan tertuduh diperintahkan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Matsuzaki kemudiannya membayar denda itu.

Dia didakwa memberikan maklumat secara bertulis kepada seorang polis yang tertuduh mengetahui ia adalah palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Seri Kembangan, di sini, pada jam 12.30 tengah hari, 2 Februari lalu, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Peguam, Mustaqeem Aziz yang mewakili Matzuzaki, memohon hukuman ringan atas alasan pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa mahkamah dan kesalahan yang dilakukan memberi pengajaran kepada anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Wafi Husain, memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyusahkan banyak pihak terutama polis dan dia hanya mengaku membuat laporan polis palsu selepas dua minggu pegawai penyiasat melakukan siasatan.

Berdasarkan fakta kes, dalam laporan polis yang dibuat, wanita itu menyatakan bahawa ketika berjalan di hadapan sebuah pangsapuri pada jam 8 malam, 1 Februari lalu, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah belakang dan berhenti di tepinya.

Laporan polis itu menyebut, seramai lima atau enam lelaki warga Afrika turun dari kereta terbabit dan memaksa wanita berkenaan mengikut mereka. Seorang daripada lelaki itu mengacukan pisau sebelum wanita itu dipukul serta dirogol oleh empat atau lima lelaki secara bergilir-gilir, manakala kad kredit dan wang RM100 turut diambil.

Bagaimanapun, wanita itu kemudiannya mengaku memberikan laporan palsu dan tiada sebarang bukti atau kejadian rogol seperti dinyatakan. - BERNAMA

Berita Harian X