Rabu, 23 March 2022 | 9:04pm
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Ekstasi dalam paket serbuk jus

MIRI: Satu sindiket pengedaran dadah tumpas selepas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri menahan seorang lelaki tempatan kerana memiliki 3,200 gram dadah jenis ekstasi di hadapan sebuah premis di Jalan Sim Cheng Kay, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari, dalam satu kenyataan media hari ini, berkata suspek yang ditahan hasil maklumat dan risikan kira-kira jam 8.30 malam, disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

"Penahanan suspek kemudiannya berjaya menemukan sejumlah dadah dalam bilik sebuah hotel bajet berdekatan yang mana pasukan polis dipandu arah oleh suspek sendiri ke hotel berkenaan," katanya.

Hasil penggeledahan, polis menjumpai 100 paket plastik berwarna putih bertulis 'juice master' berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dengan berat kasar 3,200 gram yang dianggarkan bernilai RM 60,000.

Suspek kemudiannya ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Miri untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung dadah yang dimiliki," jelasnya.

Hakemal berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif, namun lelaki itu mempunyai satu rekod berkaitan penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

Berita Harian X