Rabu, 23 March 2022 | 3:59pm

Wanita Indonesia dera bayi asuhan kena penjara 2 tahun

Oleh Audrey Dermawan

[email protected]

GEORGETOWN: Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku salah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun di bawah jagaannya tahun lalu.

Ellis Andreyani, 47, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazdi Abdul Hamid.

Dia yang berkahwin dengan warga tempatan dan berada di negara ini selama tujuh tahun, mengaku mendera kanak-kanak itu sehingga menyebabkannya cedera fizikal di sebuah rumah di Taman Utama Persiaran Minden, Gelugor di sini, di antara jam 10 pagi dan jam 3 petang November tahun lalu.

Ellis didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, manakala Ellis tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, wanita itu meminta hukuman denda yang minimum dan meminta maaf atas tindakannya serta berjanji tidak akan mengulanginya, namun Rais Imran meminta hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukannya selain menjadi pengajaran masyarakat.

"Ini kes kepentingan awam yang membabitkan bayi. Seperti yang dilihat pada rakaman video, tertuduh yang sepatutnya menjaga kanak-kanak dan bukan menderanya," katanya.

Mengikut fakta kes, pengadu (dalam kes ini adalah anak tiri tertuduh) melihat video yang dirakam anaknya sendiri (cucu tiri tertuduh) mendera kanak-kanak di bawah jagaan dengan memukul menggunakan tangan pada jam 1.15 tengah hari, 2 Disember tahun lalu.

Pengadu kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada 8 Disember. Siasatan yang dijalankan menunjukkan tertuduh memang mendera kanak-kanak itu seperti yang didakwa.

Beberapa rakaman video tular di Twitter pada Isnin lalu, memaparkan seorang wanita yang juga pengasuh menampar pipi bayi termasuk menarik tangannya.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditahan pada 8 Disember lalu dan dihantar pulang ke negara asal selepas menjalani hukuman kerana turut melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen, iaitu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ellis Andreyani, 47, (tengah) di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG
Ellis Andreyani, 47, (tengah) di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X