Rabu, 23 March 2022 | 2:34pm
Mayat nelayan warga Thailand dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. - FOTO JBPM
Mayat nelayan warga Thailand dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. - FOTO JBPM

Nelayan jatuh bot ditemui lemas

Oleh Mohd Rafi Mamat

bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Nelayan yang dilaporkan terjatuh dari bot di Sungai Kuantan berhampiran Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting, di sini kelmarin, ditemukan lemas hari ini.

Mayat mangsa yang dikenali dengan nama Muhammad Adnan, 29, ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh pasukan penyelamat kira-kira 30 meter dari lokasi dia terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mayat nelayan warga Thailand itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Berikutan itu, katanya, operasi mencari membabitkan anggota dan aset dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin yang dibantu nelayan tempatan, ditamatkan jam 11.30 pagi.

"Kejadian menimpa mangsa dimaklumkan kepada polis kira-kira jam 9.52 pagi kelmarin. Sebelum itu, bot terbabit bersama tekong dan lima kru, termasuk mangsa ke jeti berkenaan dari jeti Kampung Peramu untuk mengisi ais sebelum keluar ke laut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, selepas selesai mengisi ais, tekong mengundurkan bot untuk memberi laluan kepada bot lain masuk ke jeti dan ketika itu, dua kru ternampak mangsa terjatuh ke dalam sungai.

"Tiga rakannya segera terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana arus yang kuat. Kejadian kemudian dimaklumkan kepada polis untuk bantuan mencari dan menyelamat mangsa," katanya.

Berita Harian X