Rabu, 23 March 2022 | 1:37pm
Lau Seck Yan ketika dibawa ke Mahkamah Khas Reman pada 23 Januari lalu. - Foto fail NSTP
Lau Seck Yan ketika dibawa ke Mahkamah Khas Reman pada 23 Januari lalu. - Foto fail NSTP

Sebutan semula kes bunuh suami 22 April

SEREMBAN: Sebutan semula kes seorang suri rumah yang didakwa atas tuduhan membunuh suaminya di sebuah rumah di Rasah Kemayan, Seremban 2, Januari lalu ditetapkan pada 22 April depan.

Majistret Norzaliza Tesmin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memberitahu masih belum mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan psikiatri terhadap tertuduh Lau Seck Yan, 55.

Pada prosiding itu tertuduh juga tidak hadir ke mahkamah kerana masih menjalani pemerhatian psikiatri.

Mahkamah Majistret pada 25 Februari lalu mengarahkan Sek Yan yang juga bekas calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 2018, menjalani pemerhatian psikiatrik di Hospital Permai, Johor Bharu, Johor, selama sebulan.

Pihak pendakwaan sepatutnya membentangkan laporan kimia dan psikatrinya hari ini.

Majistret Norzaliza sebelum ini mengeluarkan perintah pemerhatian psikiatrik ke atas Seck Yan selepas permohonan dibuat peguam yang mewakili tertuduh, Joshua Nga Koo Koy.

Joshua meminta mahkamah menghantar anak guamnya menjalani penilaian mental selama sebulan atas faktor tertuduh mempunyai sejarah bertindak agresif dan ganas terhadap suaminya.

Tertuduh pada 28 Januari lalu didakwa membunuh suaminya, Poh Seng Hiap, 55, di rumah mereka di Rasah Kemayan Golf & Country Township, di sini, antara jam 3.30 hingga 4.30 petang 23 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X