Selasa, 22 March 2022 | 11:10pm
Polis menahan dua lelaki selepas menerima laporan mengenai kes kecurian telefon bimbit di sebuah farmasi di Bandar Puchong Jaya, Serdang. - Foto polis
Polis menahan dua lelaki selepas menerima laporan mengenai kes kecurian telefon bimbit di sebuah farmasi di Bandar Puchong Jaya, Serdang. - Foto polis

Tak serik walau sudah curi hampir 100 telefon bimbit

SERDANG: Memiliki puluhan rekod jenayah lampau dan pernah ditahan seolah-olah tidak memberi pengajaran kepada dua lelaki apabila ditangkap lagi kerana mencuri telefon bimbit.

Kedua-dua suspek berasal dari Pulau Pinang berusia 40-an dan 50-an itu dikesan bergiat aktif melakukan jenayah itu sejak pertengahan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata polis menerima laporan mengenai kes kecurian telefon bimbit di sebuah farmasi di Bandar Puchong Jaya, di sini.

Menurutnya, lelaki berusia 29 tahun yang juga pekerja premis itu mendakwa telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Note 9 yang berada di kaunter jualan hilang disyaki dicuri, pada 9.30 malam, Jumaat lalu.

"Bertindak atas maklumat, polis menahan dua suspek di sebuah rumah di Bandar Puteri Puchong dan merampas 20 telefon bimbit pelbagai jenama.

"Soal siasat dilakukan, kedua-dua suspek mengaku terbabit jenayah curi itu selain hampir 100 kes kecurian lain di sekitar Lembah Klang, Johor dan Melaka.

"Modus operandi suspek adalah menggunakan helah dengan seorang berpura-pura sebagai pelanggan manakala seorang lagi suspek akan mencuri telefon bimbit di bahagian kaunter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Anbalagan berkata, semakan mendapati suspek pertama berusia 50-an mempunyai 10 rekod lampau termasuk lima kesalahan curi dalam bangunan manakala suspek kedua mempunyai 20 rekod lampau termasuk 11 curi dalam bangunan.

Beliau berkata, pihaknya percaya penahanan suspek terbabit dapat menyelesaikan 15 kes curi di daerah Serdang, Petaling Jaya (3) dan Shah Alam (1) serta sedang mengenalpasti kes yang dilaporkan di daerah lain.

"Polis kini sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas," katanya sambil menambah orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-80742222.

Berita Harian X