Isnin, 21 March 2022 | 3:36pm
 Anggota penguat kuasa KPDNHEP memeriksa barang tiruan berjenama dalam serbuan di empat premis di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, Khamis lalu. - Foto ihsan KPDNHEP
Anggota penguat kuasa KPDNHEP memeriksa barang tiruan berjenama dalam serbuan di empat premis di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, Khamis lalu. - Foto ihsan KPDNHEP

KPDNHEP serbu 4 premis, sita barang tiruan bernilai RM10,000

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, menyita barangan bernilai RM10,000 selepas menyerbu empat premis menjual barang berjenama tiruan di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Kenanga, di sini, Khamis lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar, berkata empat premis diserbu itu membabitkan dua peruncit dan dua pemborong.

Katanya, serbuan itu dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan hasil risikan dilakukan selama seminggu di empat premis terbabit.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di empat premis itu, kami menyita 626 barangan disyaki tiruan membabitkan beg, dompet, kasut, pakaian dan tali pinggang berjenama yang dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Jumlah sitaan barangan berkenaan di empat premis berkenaan dianggarkan bernilai RM10,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nurul Syarina berkata, sebuah premis pemborong juga didapati menjual barangan tiruan secara dalam talian kepada pelanggan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Dalam operasi ini, kami menahan dua wanita termasuk seorang warga Indonesia yang juga pekerja di premis berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Berdasarkan statistik kes harta intelek, sebanyak 23 kes membabitkan Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Hak Cipta 1987 bagi tempoh 1 Januari lalu hingga hari ini (semalam).

"Ia membabitkan 25,000 barangan dianggarkan bernilai RM870,000, manakala enam individu ditahan berkaitan harta intelek menerusi Ops Jeriji 3.0 bagi tempoh sama," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

"Ia bertujuan membanteras penjualan barangan tiruan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di negara ini terutama menjelang perayaan Aidilfitri yang lazim dengan penawaran pelbagai barang keperluan dan pakaian.

"Sempena sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) 2022, orang ramai diminta lebih berhati-hati dalam urus niaga dalam talian terutama membabitkan barang tiruan berjenama.

"Pada masa sama, jangan bersubahat dengan membeli barangan tiruan berjenama daripada peniaga tidak bertanggungjawab. Tanggungjawab melindungi hak harta intelek adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Berita Harian X