Isnin, 21 March 2022 | 2:19pm
Mohd Basri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini. - NSTP/IZAD THAQIF HASSAN
Mohd Basri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini. - NSTP/IZAD THAQIF HASSAN

Pegawai bomba didakwa 5 pertuduhan rasuah

ALOR SETAR: Seorang pegawai bomba dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lima pertuduhan rasuah membabitkan kerja penyelenggaraan kenderaan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis pada 2020.

Mohd Basri Othman, 48, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Basri didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM437 serta RM1,025 pada 7 dan 10 Oktober 2020, daripada seorang lelaki sebagai upah memberikan perkhidmatan kerja penyelenggaraan kenderaan JBPM Perlis yang ketika itu diuruskannya, kepada sebuah syarikat.

Bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima pula, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM1,000 pada 2 November 2020; RM1,500 (29 Oktober 2020) dan RM2,000 (27 Oktober 2020) daripada lelaki berkenaan bagi tujuan sama.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah bank cawangan Sungai Petani, Kedah.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Pyara Singh.

Mahkamah menetapkan 26 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes, dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Berita Harian X