Isnin, 21 March 2022 | 2:11pm

Polis bongkar makmal proses dadah, tahan dua lelaki

GEORGETOWN: Polis membongkar aktiviti memproses dan mengedar dadah selepas menahan dua lelaki bersama dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM381,160 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Tengah di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dalam serbuan pada Khamis lalu itu, polis menahan dua suspek berusia 31 dan 41 tahun.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah dan polis menemui 42 bungkusan dadah heroin seberat 18,540 gram (g) dan dua ketulan dadah heroin base (745g).

"Turut ditemui satu bungkusan syabu (895g), plastik lutsinar berisi serbuk kafein (16,275g) dan peralatan serta bahan kimia bagi memproses dadah heroin.

"Penahanan suspek pertama membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di sekitar daerah berkenaan dan polis menahan seorang lagi suspek yang bertindak sebagai ketua sindiket," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah.

"Siasatan awal mendapati, sindiket ini bergiat aktif sejak Julai tahun lalu dengan mengedar bahan terlarang terbabit ke pasaran tempatan.

"Turut dirampas lima kenderaan, barangan kemas serta wang di dalam akaun bank dengan keseluruhan nilai sitaan, termasuk dadah yang dirampas berjumlah RM650,777.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 24 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988," katanya.

Mohd Shuhaily (tengah) melihat hasil rampasan dadah bernilai RM381,160 pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong
Mohd Shuhaily (tengah) melihat hasil rampasan dadah bernilai RM381,160 pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X