Isnin, 21 March 2022 | 11:00am
35 ekor kambing mati dalam kebakaran kandang di Dataran Pengkalan Barat 16, Taman Temara, Ipoh tengah malam tadi. - Foto ihsan Bomba
35 ekor kambing mati dalam kebakaran kandang di Dataran Pengkalan Barat 16, Taman Temara, Ipoh tengah malam tadi. - Foto ihsan Bomba

35 kambing mati kandang terbakar

IPOH: Sebanyak 35 ekor kambing yang diternak dalam sebuah kandang di Taman Temara, Pasir Puteh, di sini, mati dalam kebakaran tengah malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II Rozaidee Kamarulzaman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Kebakaran membabitkan kandang kambing kelas C dan tiada individu dilaporkan terbabit, setakat ini.

35 ekor kambing mati dalam kebakaran kandang di Dataran Pengkalan Barat 16, Taman Temara, Ipoh tengah malam tadi. - Foto ihsan Bomba
35 ekor kambing mati dalam kebakaran kandang di Dataran Pengkalan Barat 16, Taman Temara, Ipoh tengah malam tadi. - Foto ihsan Bomba

"Terdapat 57 ekor kambing berada di dalam kandang itu dengan 35 daripadanya mati, manakala baki berjaya diselamatkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan hampir 50 peratus kandang terbabit, dan operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada jam 1.30 pagi.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu penternak kambing terbabit, Badrishah Zamzuri, 60, berkata beliau menyedari kejadian berkenaan pada jam 11.45 malam selepas dimaklumkan jiran.

Susulan itu, beliau yang juga pesara polis, bergegas ke kandang berkenaan yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya.

"Setiba di kandang, saya melihat lebih separuh ternakan sudah mati. Kali terakhir saya menguruskan kambing ini ialah petang semalam dengan memberi makan sebelum memasang unggun api kira-kira jam 7 malam," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Badrishah tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada unggun api yang dipasang di kandang terbabit kerana ternakan berkenaan memerlukan haba pada waktu malam.

Anak lelaki Badrishah, Muhammad Irham Badrishah, 21, pula menyifatkan kejadian itu sebagai suratan takdir sejak menternak kambing lapan tahun lalu dengan permulaan 10 ekor haiwan berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X