Isnin, 21 March 2022 | 10:47am
Seorang pengurus syarikat pembinaan ditahan SPRM semalam, bagi membantu siasatan kes disyaki rasuah untuk mendapatkan tender. - NSTP/Asyraf Hamzah
Seorang pengurus syarikat pembinaan ditahan SPRM semalam, bagi membantu siasatan kes disyaki rasuah untuk mendapatkan tender. - NSTP/Asyraf Hamzah

SPRM tahan pengurus syarikat pembinaan

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus syarikat pembinaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, bagi membantu siasatan kes disyaki rasuah untuk mendapatkan tender.

Menurut sumber, suspek yang juga wanita berusia 44 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 6 petang selepas hadir untuk memberikan keterangan.

Difahamkan, syarikat suspek disyaki membayar sejumlah wang rasuah bagi membolehkannya mendapatkan tender bawah kelas G2 pada 2021.

Turut difahamkan, hasil semakan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati lesen dimiliki syarikat terbabit adalah kelas G3.

Bagaimanapun, nilai rasuah didakwa terbabit masih dalam siasatan SPRM.

Sementara itu Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Berita Harian X