Sabtu, 19 March 2022 | 7:40pm
Keadaan cermin pameran yang pecah dalam kejadian rompakan sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya, Melaka, pagi tadi. Foto ihsan PDRM
Keadaan cermin pameran yang pecah dalam kejadian rompakan sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya, Melaka, pagi tadi. Foto ihsan PDRM

Cubaan merompak kedai emas guna spanar

MELAKA: Seorang lelaki bersenjatakan spanar gagal merompak sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya, di sini, pagi tadi.

Cubaan suspek gagal apabila hanya sempat memecahkan cermin pameran sebelum melarikan diri selepas perbuatannya disedari pemilik premis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya masih memburu suspek dipercayai amatur dan terdesak untuk mendapatkan wang segera.

Katanya, hasil siasatan mendapati, suspek dilihat menunggu beberapa minit di atas motosikal di luar premis sebelum bertindak.

"Sebaik memasuki kedai, suspek cuba memecahkan kaunter cermin kaca menempatkan pelbagai barang kemas menggunakan spanar dibawanya.

"Namun, hentakannya itu hanya memecahkan lapisan pertama cermin sebelum disedari pemilik kedai emas yang berusia 30-an.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di luar kedai tanpa sempat melarikan barang kemas.

"Walaupun tidak sempat melarikan barang kemas, difahamkan pemilik kedai mengalami kerugian kira-kira RM10,000 bagi kos membaiki cermin kaca yang rosak," katanya ketika dihubungi sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.

Berita Harian X