Sabtu, 19 March 2022 | 1:07pm
Anggota penguat kuasa JAS Johor memeriksa kilang pembuatan komponen basikal dan aksesori memancing mencemar alam sekitar di Kawasan Perindustrian Pontian. - Foto ihsan FB JAS
Anggota penguat kuasa JAS Johor memeriksa kilang pembuatan komponen basikal dan aksesori memancing mencemar alam sekitar di Kawasan Perindustrian Pontian. - Foto ihsan FB JAS

Cemar alam sekitar, kilang diarah henti operasi, kompaun RM10,000

PONTIAN: Kilang pembuatan komponen basikal dan aksesori memancing dikompaun RM10,000 serta diarah menghentikan operasi serta-merta kerana dikesan melepaskan efluen tidak dirawat di dalam longkang awam.

Perbuatan itu dikesan hasil pemeriksaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JAS), di Kawasan Perindustrian Pontian, di sini, hari ini.

JAS Johor dalam kenyataan, berkata kilang terbabit dikompaun atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Efluen ialah sisa buangan cecair seperti bahan kimia, kumuhan dan sebagainya daripada kilang atau kumbahan yang mengalir keluar ke dalam sungai atau laut.

"Premis terbabit dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana melepaskan efluen tidak dirawat ke dalam longkang awam.

"Hasil siasatan JAS Johor mendapati terdapat kegagalan terhadap Sistem Pengolahan Effluen Perindustrian (SPEP) di premis yang menyebabkan efluen tidak dirawat dilepaskan.

"Susulan itu, kilang berkenaan diarah menghentikan segala aktiviti operasi secara serta-merta dan perlu mengambil langkah pembaikan dengan segera bagi memastikan pencemaran berlaku dapat diatasi," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

JAS Johor berkata, pihak industri dan mana-mana pihak diingatkan sentiasa memastikan pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya secara konsisten sepanjang masa.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my atau ke portal aduan https://eaduan@doe.gov.my untuk melaporkan sebarang aduan mengenai pencemaran alam sekitar.

Berita Harian X