Sabtu, 19 March 2022 | 10:49am
Antara barangan dirampas daripada suspek sebelum dituduh terbabit dalam kes melakukan pencerobohan dan curi dalam kenderaan. - Foto ihsan polis
Antara barangan dirampas daripada suspek sebelum dituduh terbabit dalam kes melakukan pencerobohan dan curi dalam kenderaan. - Foto ihsan polis

Polis berjaya selesai 9 kes pecah kereta, curi

PORT DICKSON: Polis berjaya menyelesaikan kira-kira sembilan kes pecah kereta dan curi di sekitar Taman PD Utama dan Jalan Lama Port Dickson, yang berlaku sejak sebulan lalu, susulan penangkapan seorang pekerja kilang penapis minyak pada Isnin lalu.

Pagi semalam, lelaki terbabit, K Thinish Kumar, 26, dari Sungai Siput, Perak, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, dijatuhi hukuman penjara 21 bulan selepas gagal membayar denda RM10,500 kerana melakukan pencerobohan dan curi dalam kenderaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata lelaki itu kemudian dibawa ke penjara Jelebu untuk menjalani hukuman bermula semalam.

"Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan dua rekod dadah, ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Port Dickson dalam serbuan pada jam 10.30 malam 14 Mac lalu di sebuah bilik sewa di Jalan Lama Pasar Besar Port Dickson.

"Penangkapan lelaki itu membolehkan polis berjaya menyelesaikan kira-kira sembilan kes pecah kereta dan curi di sekitar Taman PD Utama dan Jalan Lama Port Dickson sejak sebulan lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi Sham berkata, tertuduh mengaku salah atas empat pertuduhan iaitu melakukan curi, dua pertuduhan melakukan pencerobohan jenayah dan satu pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Katanya, pendakwaan kes semalam dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Fatin Nur Athirah Zainudin di hadapan Majistret Port Dickson, V Vanitha.

Berita Harian X