Jumaat, 18 March 2022 | 8:07pm
 Mahkamah Sandakan. NSTP/ HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Mahkamah Sandakan. NSTP/ HAZSYAH ABDUL RAHMAN

Lakukan amang seksual terhadap pelajar, bekas guru dipenjara 7 tahun, sebatan

SANDAKAN: Seorang bekas guru disiplin sebuah sekolah menengah di sini, dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan satu sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud, menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Mohd Faiz Ismail, 33, bermula tarikh sabitan, semalam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu melakukan amang seksual dengan meraba payu dara seorang pelajar perempuan yang ketika itu berusia 17 tahun 11 bulan pada kira-kira jam 7 pagi sekitar Julai 2019, di bilik kaunseling sebuah sekolah menengah di sini.

Sabit kesalahan, lelaki terbabit boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan boleh disebat.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto, manakala tertuduh diwakili peguam, Hamid Ismail.

Berita Harian X