Jumaat, 18 March 2022 | 12:20pm
Antara dadah yang dirampas polis dalam operasi di tiga lokasi di Port Dickson. - Foto ihsan polis
Antara dadah yang dirampas polis dalam operasi di tiga lokasi di Port Dickson. - Foto ihsan polis

Sarang dadah di Port Dickson digempur

PORT DICKSON: Polis menggempur tiga lokasi, Lukut, Telok Kemang dan Linggi, yang menjadi tumpuan pengedar dan penagih dadah.

Menerusi operasi tiga hari bermula 15 Mac lalu, 14 orang ditahan, termasuk seorang wanita, berusia dari 20 tahun hingga 65 tahun dan merampas dadah jenis heroin serta syabu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada 15 Mac lalu menangkap lima lelaki di kawasan Tokong Cina lama di Springhill, Lukut dan merampas 2.14 gram heroin.

"Lanjutan daripada tangkapan itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an di kawasan Lukut dan merampas heroin anggaran berat 15.10 gram.

"Pada 16 Mac pula, polis menahan tiga lelaki berusia 25 tahun hingga 30 tahun di Telok Kemang dan pada 17 Mac, empat lelaki dan seorang perempuan berusia 21 tahun hingga 46 tahun pula ditahan di Linggi.

"Polis turut merampas 5.11 gram heroin dan 0.53 gram syabu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aidi Sham berkata, hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah dan rekod jenayah dadah lampau.

Beliau berkata, semua 14 suspek ditahan di lokap IPD Port Dickson dan semua rampasan dadah disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis percaya berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah yang berleluasa di daerah ini dan keseluruhan anggaran rampasan dadah bernilai RM835.25," katanya.

Berita Harian X