Khamis, 17 March 2022 | 11:51am

2 pegawai ILP Tangkak tak mengaku salah kemuka tuntutan palsu

JOHOR BAHRU: Dua penjawat awam dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan mengemukakan butiran sebut harga palsu bagi menuntut bayaran RM7,200 terhadap kursus tidak diadakan, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas Penolong Pegawai Tadbir, Hafizah Ab Talib, 44, dan Penolong Pegawai Latihan Vokasional di institusi itu, Azarudin Asrap, 43, mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Hafizah yang kini bertugas di Kementerian Pertahanan, didakwa memperdayakan prinsipalnya iaitu ILP dengan mengemukakan dokumen Kertas Kerja Bengkel Pemantapan Modal Insan ILP Tangkak Tahun 2016 dan Sebut Harga Perkhidmatan Kursus Pengurusan Organisasi Efektif mengandungi butiran palsu.

Sebut harga itu bagi mengadakan Kursus Pengurusan Organisasi Efektif atas nama Jati Selatan Services and Trading berjumlah RM7,200, sedangkan Kursus Pengurusan Organisasi Efektif itu tidak diadakan.

Azarudin pula didakwa bersubahat dengan Hafizah, atas kesalahan sama.

Hafizah didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala Azarudin pula menerusi Seksyen Seksyen 28(1)(c) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika butir matan palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di ILP Tangkak, di Kilometer 43, Jalan Segamat, Tangkak antara November hingga Disember 2016.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin dengan Hafizah diwakili peguam MJ Pereira, manakala Azarudin tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ikhwan menawarkan kedua-dua tertuduh jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, MJ Pereira memohon Ahmad Kamal mempertimbangkan mengurangkan wang jaminan memandangkan Hafizah mempunyai lima anak berusia empat hingga 17 tahun.

Azarudin dalam rayuannya pula memohon wang jaminannya dikurangkan, memandangkan dia mempunyai tiga anak berusia antara tiga hingga sembilan tahun.

Ahmad Kamal kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin manakala pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes pada 19 April ini untuk serahan dokumen dan memberi ruang Azarudin melantik peguam.

Hafizah (kiri) dan Azarudin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan butiran sebut harga palsu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Hafizah (kiri) dan Azarudin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan butiran sebut harga palsu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X