Khamis, 17 March 2022 | 9:18am
Anggota bomba mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersepit dalam lubang mangkuk tandas dengan selamat. - Foto ihsan pembaca
Anggota bomba mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersepit dalam lubang mangkuk tandas dengan selamat. - Foto ihsan pembaca

Dua jam kaki tersepit dalam mangkuk tandas

KUALA LUMPUR: Anggota bomba terpaksa bertungkus lumus hampir dua jam untuk mengeluarkan kaki seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang tersepit dalam lubang mangkuk tandas di sebuah kediaman di Jalan Jejaka, Taman Maluri, di sini malam tadi.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan dari MERS999 berhubung kejadian itu padajam 9.14 malam.

Berikutan itu, sepasukan 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dengan bantuan BBP Hang Tuah diketuai Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Rahmat Kamarulzaman kemudian bergegas ke lokasi.

Menurut Kamarulzaman, sebaik tiba di kediaman itu, mendapati kaki seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tersepit dalam mangkuk tandas dipercayai akibat tergelincir.

"Kerja menyelamat dimulakan dengan kita memecahkan mangkuk dan paip tandas menggunakan peralatan 'power unit' dan ia perlu dibuat secara berhati-hati serta teliti supaya tidak mencederakan kaki kanak-kanak terbabit.

"Proses itu mengambil masa lebih kurang dua jam sebelum kita berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit dengan selamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kanak-kanak itu yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak ambulans dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X