Khamis, 17 March 2022 | 9:14am
Keadaan motosikal mangsa kemalangan. - Foto ihsan pembaca
Keadaan motosikal mangsa kemalangan. - Foto ihsan pembaca

Penunggang motosikal maut digilis

IPOH: Penunggang motosikal maut digilis lori ketika cuba memotong kenderaan berat itu, berhampiran sebuah pasar raya besar di Jalan Kuala Kangsar-Sungai Siput dekat Klebang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.05 malam, Muhammad Zuhair Husaini Bohiran, 20, yang menunggang motosikal Honda EX5, maut di tempat kejadian apabila digilis di bahagian tayar belakang lori jenis Isuzu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata siasatan awal mendapati nahas berpunca apabila motosikal ditunggang lelaki itu bergesel ketika cuba memotong laluan lori itu yang dipandu lelaki berusia 53 tahun dari sebelah kiri.

Katanya, ketika kejadian kedua-kedua kenderaan dari arah Jalan Kuala Kangsar, di sini menghala ke Sungai Siput.

"Ketika cuba memotong dari belakang, 'handle' (pemegang) motosikal itu bergesel dengan lori terbabit di bahagian depan, lalu menyebabkan penunggang jatuh di atas jalan raya sebelum digilis di bahagian tayar belakang lori," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan.

Yahaya berkata, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat pagi ini.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X