Rabu, 16 March 2022 | 3:34pm

Sebutan semula kes remaja bunuh bayi 6 April

CHUKAI: Mahkamah Majistret Kemaman menetapkan 6 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes remaja perempuan yang berdepan tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya di Kemaman.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membuat keputusan itu memandangkan tertuduh yang berusia 15 tahun itu sedang mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor.

Pada 8 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri.

Sebelum ini, tertuduh yang diwakili peguam Ramkarpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Harshaan Zamani memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Februari lalu yang tidak membenarkannya diikat jamin.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes itu selepas mendapati Mahkamah Majistret Kemaman tidak melakukan kesilapan apabila tidak membenarkan jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Februari lalu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh bayinya di sebuah rumah di Kemaman antara jam 7 hingga 9 pagi 8 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid.

Berita Harian X