Rabu, 16 March 2022 | 12:31pm

Mekanik mengaku tidak bersalah sebabkan kematian 4 beranak

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga di Lebuh Raya Sultan Iskandar di sini, 27 Februari lalu.

Aliff Asyraf Abu, 27, yang hadir bertongkat serta memakai pendakap badan dan leher, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar di Mahkamah Majistret Trafik di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Aliff Asyraf didakwa memandu kenderaan jenis Toyota Hilux dengan melulu hingga menyebabkan kematian pemandu kereta, C Thinisha, 31; dan tiga penumpang iaitu P Milan Damani, 32; D Ishaan Ivaan, empat tahun, serta D Rihaan Ivaan, tiga tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini, jam 11.20 pagi pada 27 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Izzat Hasizan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai mekanik dengan gaji harian dan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Muhammad Izzat meminta jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh kehilangan pekerjaan selepas terlantar di hospital selama tiga minggu sejak hari kemalangan.

"Tertuduh bukan penjenayah tegar bagi mahkamah menetapkan nilai jamin yang terlalu tinggi," katanya sambil memaklumkan tertuduh bukan di bawah pengaruh dadah dan alkohol ketika kejadian.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh yang diiringi pegawai polis tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 8.59 pagi tadi dengan memakai kemeja T hitam, berseluar denim biru gelap selain bertopi dan memakai kaca mata hitam.

Pada 27 Februari lalu, empat sekeluarga maut di tempat kejadian apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dinaiki dirempuh sebuah Toyota Hilux.

Anggota polis trafik mengiringi tertuduh (dua dari kiri) yang didakwa memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian empat sekeluarga, bulan lalu. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Anggota polis trafik mengiringi tertuduh (dua dari kiri) yang didakwa memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian empat sekeluarga, bulan lalu. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Berita Harian X