Selasa, 15 March 2022 | 8:32pm

Persatuan minta SPRM siasat Hakim Nazlan

KUALA LUMPUR: Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) membuat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini, bagi menggesa suruhanjaya itu menyiasat Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Laporan dibuat Presiden PSUAM, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz pada jam 11 pagi tadi itu, susulan dakwaan Mohd Nazlan menerima rasuah dan imbuhan kenaikan pangkat supaya menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Syed Muhammad Imran berkata, dakwaan berkenaan berdasarkan keterangan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner di mahkamah di Amerika Syarikat.

Katanya, Leissner mendakwa Mohd Nazlan sebagai antara yang memegang jawatan penting dalam Tanjung Energy Group (TEG) menjayakan transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menerima dorongan rasuah.

"Pada 4 Mac lalu, sebuah portal mempamerkan beberapa dokumen bertarikh 7 Mac 2012 yang dipercayai disediakan oleh Mohd Nazlan, iaitu Hakim Mahkamah Tinggi yang dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan selepas menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib dalam kes berkenaan.

"Pada tarikh 2012 itu, Nazlan adalah setiausaha kepada Lembaga Pengarah, General Counsel serta Ketua Bahagian Korporat dan Perundangan Maybank. Dokumen itu adalah minit mesyuarat Group Management Credit Committee (GMCC) Maybank yang bersidang di Tingkat 50, Menara Maybank, Jalan Tun Perak, pada jam 8.30 pagi 7 Mac 2012.

"Minit mesyuarat itu adalah berkenaan permohonan 1MDB untuk mendapatkan 'bridging loan' (pinjaman tambahan) jangka pendek sebanyak RM6.17 bilion bagi membiayai pengambilalihan keseluruhan ekuiti TEG iaitu sebuah syarikat yang mempunyai lapan IPP (Independent Power Plant)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mahkamah mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Najib sedang mengemukakan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan.

Berita Harian X