Selasa, 15 March 2022 | 7:30pm
Datuk Peter Anthony ketika hadir untuk bela diri kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu. - NSTP/ARKIB
Datuk Peter Anthony ketika hadir untuk bela diri kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu. - NSTP/ARKIB

Rayuan bekas menteri Sabah pindah kes palsu surat kontrak kerja ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk memindahkan kesnya berhubung pemalsuan surat kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu pada prosiding hari ini.

"Ini adalah keputusan sebulat suara, rayuan dibatalkan," kata Nor Bee yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir, berkata Peter tidak pernah hadir ke mahkamah sepanjang pengurusan kes itu.

"Saya memohon kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh akhir bagi perayu hadir ke mahkamah," katanya sambil memaklumkan bahawa Peter hanya memfailkan notis rayuan, namun petisyen rayuan belum difailkan sejak tahun lalu.

Peter dan peguamnya tidak hadir pada prosiding hari ini.

Beliau memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Mac tahun lalu yang menolak permohonannya untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Disember 2021, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Peter membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Pada 18 Februari lalu, pembelaan telah menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi termasuk Peter dan mahkamah menetapkan 31 Mac untuk mendengar hujah kedua-dua pihak sebelum memutuskan sama ada tertuduh disabitkan atau dilepaskan daripada pertuduhan itu. - BERNAMA

Berita Harian X