X
Selasa, 15 March 2022 | 2:06pm

Polis tahan dua beranak, rampas dadah bernilai RM1.95 juta

SHAH ALAM: Polis menahan seorang bapa dan anak lelakinya serta merampas dadah jenis methamphetamine dianggar seberat 54.06 (kg) kilogram bernilai kira-kira RM1.95 juta dalam serbuan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah, berkata lelaki warganegara Thailand berusia 49 tahun dan anak lelakinya, rakyat tempatan berusia 26 tahun itu ditahan 4.50 petang di sebuah kawasan tempat letak kereta.

"Ketika serbuan, salah seorang suspek sedang mengeluarkan sebuah kotak dari kenderaan itu terkejut lalu kotak itu dilepaskan dan suspek cuba melarikan diri namun polis berjaya menahannya.

"Hasil serbuan polis merampas kotak berisi 10 bungkusan teh Cina bertulisan Guanyinwang dipercayai mengandungi methamphetamine seberat 10.2kg," katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini, hari ini.

Ahmad Jefferi berkata, susulan itu, jam 6.20 petang hari sama, polis memeriksa sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Saujana Putra dengan dipandu arah kedua beranak itu.

"Hasil pemeriksaan menjumpai dua lagi kotak berwarna coklat mengandungi 43 bungkusan teh sama, masing-masing berisi dadah jenis sama dengan anggaran berat keseluruhan 43.86kg. Dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di Selangor," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati, bapa tiada rekod jenayah manakala anaknya mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. Namun hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif terhadap dadah.

"Polis turut menyita sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM60,400," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang menetap di Kelantan kini direman sehingga 17 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah (tengah) menunjukkan dadah jenis Methamphetamine yang dirampas. - NSTP/Ruwaida Md Zain
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah (tengah) menunjukkan dadah jenis Methamphetamine yang dirampas. - NSTP/Ruwaida Md Zain
Berita Harian X