KUALA LUMPUR: Seramai 72 pengunjung serta tiga pemilik premis dikenakan kompaun berjumlah RM75,000 dalam serbuan di tiga pusat hiburan sekitar ibu negara, malam tadi.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, berkata hasil serbuan dilakukan mendapati pusat hiburan terbabit beroperasi dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.
"Tiga pemilik premis serta 18 pengunjung di premis pertama, 20 pengunjung di premis kedua dan 34 pengunjung di premis ketiga dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan dalam serbuan malam tadi adalah RM75,000.
"Tindakan kompaun diambil selaras dengan Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 4 2021 iaitu melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam yang masih dikuatkuasakan ketika ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azman berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 596 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM596,000 ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar pusat bandar ini sejak 1 Januari lalu hingga kini.
"Semua kompaun terbabit dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. Orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi semua SOP ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 yang masih tinggi demi keselamatan umum.
"Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama," katanya.