Isnin, 14 March 2022 | 1:13pm

Tidak mengaku salah tetak lelaki hingga parah

KOTA BHARU: Seorang penjual besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan sebilah parang hingga parah, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Shahzrie Sham Sabudin, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Faain Adha Azliza, 30, dengan menggunakan sebilah parang.

Perbuatan itu dilakukan di Sungai Bechah, Gunong dekat Bachok, jam 12.10 tengah malam, pada 8 Mac 2022.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Sekyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mohamad Shahzrie Sham Sabudin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan sebilah parang di Sungai Bechah, Gunung dekat Bachok. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Shahzrie Sham Sabudin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan sebilah parang di Sungai Bechah, Gunung dekat Bachok. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X