Sabtu, 12 March 2022 | 9:10pm
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan menyebabkan seorang jurusolek pengantin dan pengawal keselamatan maut di Jalan Sultan Mizan, Kampung Bukit Tunggal. STR/ZAID SALIM
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan menyebabkan seorang jurusolek pengantin dan pengawal keselamatan maut di Jalan Sultan Mizan, Kampung Bukit Tunggal. STR/ZAID SALIM

Jurusolek pengantin, pengawal keselamatan maut nahas

KUALA NERUS: Jurusolek pengantin yang dalam perjalanan ke rumah pengantin maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mizan, Kampung Bukit Tunggal, di sini, hari ini.

Mangsa, Annur Izatul Dawiah Mohd Razali, 24, dari Kampung Kesom Che Nordin, Manir, Kuala Terengganu yang memandu Honda Civic meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik Negeri (JSPT), Superintendan Ismail Man, berkata selain wanita itu, turut terkorban, pemandu Proton Waja, Mohammad Faiz Azmi Harun, 31, dari Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Waja, Perodua Viva dan Honda Civic itu berlaku jam 1.25 petang.

Katanya, nahas dipercayai berlaku apabila Proton Waja dipandu pengawal keselamatan dari arah Jambatan Sultan Mahmud menghala ke pekan Batu 6, dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan setiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Semarak, di sini.

"Selepas melanggar pembahagi jalan, kenderaan terbabit kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh Viva dan Honda Civic. Kereta itu seterusnya terhumban ke dalam semak. Pemandu kenderaan terbabit meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada NSTP, hari ini.

Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan Perodua Viva dan Honda Civic mengalami kerosakan teruk.

Ismail berkata, pemandu Perodua Viva, Mohd Faiz Fikri Suhaimi, 30, dari Taman Mesra Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan tidak cedera.

Katanya, kecederaan penumpang, Nor Syuhada Juhari, 33, dari Taman Kalongan Mas, Rusila, Marang belum diketahui dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X