Sabtu, 12 March 2022 | 3:52pm
Keadaan dua kenderaan yang remuk sejurus bertembung dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Pesisir Pantai Bakam, Miri hari ini. - FOTO NSTP / ERIKA GEORGE
Keadaan dua kenderaan yang remuk sejurus bertembung dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Pesisir Pantai Bakam, Miri hari ini. - FOTO NSTP / ERIKA GEORGE

Kenderaan dipandu bapa kemalangan, kanak-kanak 6 tahun maut tercampak

MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut tercampak selepas pacuan empat roda dinaikinya bersama empat ahli keluarga lain terbabit kemalangan di Jalan Pesisir Pantai Bakam, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi, menyebabkan mangsa, Aiden Chiang Yong Jun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata pegawai perubatan dari Hospital Miri yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala.

Mengulas lanjut, katanya seorang lagi penumpang yang menaiki pacuan empat empat roda sama yang belum diketahui identiti dilaporkan parah, manakala bapa mangsa yang memandu kenderaan termasuk ibu dan adik mangsa hanya mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, Alexson berkata, lelaki berusia 63 tahun yang memandu Perodua Alza yang terbabit kemalangan sama dilapor patah kaki, manakala dua penumpangnya mengalami kecederaan.

"Hasil siasatan awal mendapati semasa kemalangan, pacuan empat roda dari arah Bekenu menuju Miri itu dikatakan gagal dikawal lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza.

"Impak kuat pertembungan menyebabkan kedua-dua kenderaan terbalik dengan Perodua Alza tersadai di tengah laluan," katanya.

Alexson berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat dan mangsa lain yang cedera turut dirujuk ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X