IPOH: Pasukan penyelamat akan meneruskan operasi pengalihan bongkah batu bagi mengesan kedudukan terakhir dua mangsa yang tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini.
Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata kerja pengalihan bongkah batu itu bagaimanapun bergantung kepada faktor cuaca.
Setakat semalam, katanya kerja pengalihan bongkah batu bagi membuka laluan ke kedudukan terakhir dua mangsa dijangka tertimbus, diselesaikan sebanyak 30 peratus.
"Hari ini, kita akan menyambung kerja pengalihan bongkah batu terbabit dan dijangka dapat diteruskan sehingga tahap 70 peratus, sekiranya cuaca baik sehingga petang," katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, katanya operasi mencari dan menyelamat hari ini disambung semula jam 8 pagi tadi, dengan melakukan letupan pada bongkahan batu bagi memudahkan kerja pengalihan, di samping penilaian taktikal operasi dilakukan pasukan penyelamat.
Beliau berkata, keseluruhan 62 anggota pasukan keselamatan daripada pelbagai agensi terdiri Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibantu pegawai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pekerja kuari terbabit dalam operasi hari ini.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati kawasan zon merah masih dikawal ketat pihak berkuasa bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Semalam media melaporkan, operasi hari keempat bagi mencari dua mangsa tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai masih diteruskan.
Kali terakhir direkodkan, terdapat batu gelongsor berskala kecil pada jam 4 pagi kelmarin dan melalui operasi semalam tiada tanda gelongsoran batu dari struktur bukit yang ditanda pihak JMG sebagai struktur lemah.