X
Jumaat, 11 March 2022 | 7:28pm
Polis menyiasat lokasi sebuah pacuan empat roda yang merempuh pam stesen minyak di Teluk Gedung Indah selepas pemandunya diserang sakit jantung - Foto NSTP/Faiz Anuar
Polis menyiasat lokasi sebuah pacuan empat roda yang merempuh pam stesen minyak di Teluk Gedung Indah selepas pemandunya diserang sakit jantung - Foto NSTP/Faiz Anuar

Pemandu diserang sakit jantung rempuh pam minyak

KLANG: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas merempuh dua kenderaan serta dua pam minyak di Teluk Gedung Indah dekat sini semalam, dipercayai akibat serangan jantung ketika memandu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.25 pagi itu mangsa iaitu warga tempatan berusia 60 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu maut di tempat kejadian.

Katanya, sebelum kejadian mangsa yang bekerja sebagai penyelia tapak memandu kenderaan jenis Nissan Frontier sedang berhenti di lampu isyarat simpang tiga Teluk Gedung Indah.

"Mangsa bagaimanapun secara tiba-tiba diserang penyakit jantung dan menyebabkannya terpijak pedal minyak lalu bergerak terus ke arah stesen minyak sebelum merempuh sebuah kereta jenis Nissan dan Yamaha Y15zr yang dinaiki lelaki berusia 22 dan 65 tahun.

"Kedua-dua pemandu kereta dan penunggang motosikal yang berusia 22 dan 65 tahun itu tidak mengalami kecederaan kerana sempat mengelak.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiada kecederaan luar ditemui pada mangsa yang kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

. Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier yang dipandu seorang lelaki maut dipercayai telah diserang sakit jantung secara tiba-tiba lalu bergerak terus merempuh dua kenderaan sebuah van dan sebuah motosikal serta dua pam minyak dalam kejadian di stesen minyak Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pagi semalam. VIDEO FAIZ ANUAR

Berita Harian X