Khamis, 10 March 2022 | 5:25pm
Pasukan operasi KPDNHEP memeriksa barangan mewah disyaki tiruan di premis yang diserbu sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, semalam - - FOTO IHSAN KPDNHEP
Pasukan operasi KPDNHEP memeriksa barangan mewah disyaki tiruan di premis yang diserbu sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, semalam - - FOTO IHSAN KPDNHEP

KPDNHEP serbu 3 premis jual barangan berjenama tiruan

KOTA KINABALU: Tiga premis sekitar daerah ini dan Penampang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas disyaki menjual barangan mewah tiruan, dalam operasi dua hari berakhir semalam.

Hasil serbuan, sejumlah 437 aksesori wanita terdiri beg tangan, beg sandang, tali pinggang, dompet, selipar, kasut, topi dan gelang yang menggunakan jenama mewah disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM10.573.30 dirampas.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan dijalankan pihaknya bersama wakil pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama Louis Vutton (LV) dan Chanel.

Operasi berkenaan, katanya adalah hasil maklumat daripada Global Trade Shield Consultancy Sdn Bhd selaku wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar kedua-dua jenama berkenaan.

"Kes akan disiasat mengikut seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan," katanya.

Georgie berkata, KPDNHEP akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.

Justeru, katanya, peniaga diingatkan lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

"Pengguna juga dinasihati tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya," katanya.

Berita Harian X