Khamis, 10 March 2022 | 4:24pm

Gegaran, runtuhan tanah ganggu operasi cari mangsa runtuhan kuari

IPOH: Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, dekat Simpang Pulai, di sini, tidak dapat diteruskan berikutan berlaku gegaran dan runtuhan tanah kecil di sekitar lokasi.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Aidil Adlee Che Mee berkata, keputusan itu diambil susulan penilaian risiko dilakukan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Mengulas lanjut, katanya operasi hari ini sepatutnya dimulakan jam 8 pagi dengan proses pengalihan bongkah batu besar, namun hujan lebat melanda sebelah pagi memaksa ia dianjakkan.

"Kesan hujan itu menyebabkan sehingga kini masih berlaku gelungsur tanah kecil di kawasan terbabit dan

JMG memaklumkan ia tanda awal kepada runtuhan besar.

"Jadi hasil perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), JMG dan pemilik kawasan ini kita putuskan proses pengalihan bongkah batu besar di sektor ditetapkan hanya akan bermula kira-kira jam jam 4 petang," katanya.

Beliau berkata, daripada aspek keselamatan, pihaknya mendapat bantuan daripada JMG dengan menggunakan peralatan khas dipasangkan pada bahagian sekitar bukit yang berkemungkinan mempunyai struktur lemah.

Untuk hari ini, katanya usaha akan diteruskan menggunakan dron bagi mengesan haba untuk mengenal pasti kedudukan mangsa.

"Semalam kita cuba menggerakkan bantuan daripada unit udara Bomba menggunakan dron, namun tidak mendapat sebarang apa-apa petunjuk haba daripada mangsa yang tertimbus.

"Hari ini kita cuba lagi namun setakat ini masih belum menemui tanda-tanda," katanya.

Aidil Adlee berkata, selepas kerja pengalihan bongkah besar petang ini, pasukan dijangka menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan kedudukan mangsa.

"Kita juga akan melakukan proses 'blasting' (letupan) pada bahagian bongkah batu kecil sebagai jalan terakhir sekiranya bongkah itu tidak dapat dialihkan," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat tidak dapat diteruskan berikutan masih terdapat runtuhan kecil di sekitar lokasi di Kuari Keramat Pulai Simpang Pulai. - FOTO NSTP/ L MANIMARAN
Operasi mencari dan menyelamat tidak dapat diteruskan berikutan masih terdapat runtuhan kecil di sekitar lokasi di Kuari Keramat Pulai Simpang Pulai. - FOTO NSTP/ L MANIMARAN
Berita Harian X