Khamis, 10 March 2022 | 1:03pm
 Muhammad Ariff (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyebabkan dua penunggang motosikal maut. NSTP/IZAD THAQIF HASSAN
Muhammad Ariff (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyebabkan dua penunggang motosikal maut. NSTP/IZAD THAQIF HASSAN

Pemandu lori tak mengaku salah sebabkan kematian 2 individu

Oleh Izad Thaqif Hassan

bhnews@bh.com.my

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu lori dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua individu dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di Gurun, dekat sini, Isnin lalu.

Tertuduh, Muhammad Ariff Abdullah, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua Mahkamah Majistret berasingan bagi setiap pertuduhan, masing-masing di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad dan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Bagi pertuduhan di hadapan Nurul Ainna, Muhammad Ariff yang berasal dari Bachok, Kelantan dituduh memandu lori dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Khairul Azwan Maula Hashim, 31.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 92.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kuala Muda, Kedah pada jam 2.40 petang, Isnin lalu.

Sementara itu, di hadapan Nadhirah pula, Muhammad Ariff dituduh dengan kesalahan sama sehingga menyebabkan kematian Mohammad Amirul Ismail, 28.

Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Nur Hamizah Mat Shah, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Haslina Hasbullah.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun Siti Haslina memohon jumlah lebih rendah memandangkan anak guamnya berpendapatan rendah dan perlu menyara ibunya.

Majistret kemudian menetapkan ikat jamin RM9,000 dan RM8,000 bagi setiap pertuduhan, selain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 28 Mac ini sementara menunggu laporan bedah siasat serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Pupakom).

Isnin lalu, dua penunggang motosikal maut, manakala tujuh yang lain cedera selepas mereka dirempuh sebuah lori dari arah belakang ketika sedang berteduh daripada hujan lebat di bawah jejambat di Kilometer 92.8, Lebuhraya PLUS arah selatan, di Gurun.

Berita Harian X