Rabu, 9 March 2022 | 6:03pm
Remaja perempuan maut selepas motosikal yang dibonceng terbabit dalam kemalangan di Jalan Slim Village berhampiran Kampung Rasau, pagi tadi. NSTP/Ihsan PDRM
Remaja perempuan maut selepas motosikal yang dibonceng terbabit dalam kemalangan di Jalan Slim Village berhampiran Kampung Rasau, pagi tadi. NSTP/Ihsan PDRM

Kakak maut, adik lelaki patah kaki dalam kemalangan

SLIM RIVER: Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal yang dibonceng bergesel dengan sebuah lori di Jalan Slim Village berhampiran Kampung Rasau, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa yang berumur 17 tahun parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama adik lelakinya berumur 15 tahun dalam perjalanan dari Slim Village ke arah Slim River.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai cuba memotong sebuah lori sebelum muncul kenderaan lain dari arah bertentangan.

"Penunggang motosikal cuba mengelak namun motosikal bergesel dengan lori terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, akibat kemalangan, penunggang motosikal terjatuh di bahagian tayar belakang lori serta patah kaki kiri manakala pembonceng parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berumur 34 tahun tidak cedera manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat selepas ujian COVID-19 dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X